KENANGAN PENULIS

PERHATIAN!!!

KEPADA SEMUA PEMBERI KOMEN RUANGAN INI, SAYA MOHON MENGENALKAN DIRI ANDA DENGAN NAMA SEBENAR, SEKIRANYA ANDA MENGENAL SAYA SEPENUHNYA, IZINKANLAH SAYA JUGA MENGENAL ANDA YANG SEBENARNYA.

Majalah Dewan Masyarakat 1989



Majalah Dewan Masyarakat 1989, yang memaparkan kisah hidup Natrah pada ketika itu.

Natrah : Cinta, Rusuhan dan Air Mata

Assalamualaikum, Salam kasih dan selamat bertemu untuk peminat lama saya dan peminat baru yang bertandang ke laman blog ini.

Saya telah menulis tentang kisah Natrah semasa saya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Semasa itu saya bertugas sebagai wartawan Dewan Masyarakat terbitan DBP. Tulisan berasaskan penyelidikan di perpustakaan dan arkib dan di lapangan itu terbit dalam majalah tersebut pada bulan Februari, Mac, April, dan Mei 1989. Kini saya rasa terpanggil untuk merakamkan kembali kisah Natrah ini dalam bentuk buku dengan gaya penulisan kewartawanan kreatif.

Saya cuba menggarap bahan sejarah yang berat ini dengan hati-hati dan kreatif untuk memudahkan pembaca memahami persoalan undang-undang, susur galur cerita dan permulaan derita hati Natrah yang bersatu dengan denyut rasa hati masyarakat semasa itu. Saya harap saya telah dapat menyampaikannya dengan baik dan dapat memberikan empat kesan ini pada semua pembaca :

Pertama: Untuk melengkapkan kisah hidup atau biografi Natrah setelah beliau meninggal dunia pada 8 Julai 2009.

Kedua: Untuk memberikan maklumat yang lengkap khusus kepada pembaca yang baru mengikuti kisah Natrah.

Ketiga: Untuk memberikan penghargaan terhadap perjuangan para pejuang membela agama dan menentang penjajah, di sebalik kisah cinta Natrah - Mansor.

Keempat: Untuk membangkitkan rasa cinta kepada agama dan tanah air.


Dalam buku ini saya mencuba sedaya upaya untuk tidak mengecewakan generasi yang telah menyaksikan dan mengalami peristiwa bersejarah ini. Saya juga berusaha untuk tidak mengecewakan mereka yang berada pada zaman yang sama dengan gelora kisah Natrah ini. Sejak awal lagi saya sedar, kisah Natrah ini bukan milik saya secara peribadi. Sejarah cinta, rusuhan dan air mata Natrah ini adalah milik bangsa Melayu dan orang Islam rantau ini. Saya hanyalah seorang wakil kerdil yang cuba membawakan sejarah hebat ini kepada bangsa Melayu, dan orang Islam rantau ini. Saya harap saya tidak mengecewakan pembaca semua.


Setelah menghayati sejarah besar dan hebat ini, tidak keterlaluan untuk saya merasakan bahawa rusuhan yang berlaku dalam kes Natrah adalah satu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Rusuhan hebat yang digelar sebagai `Natrah Riots 1950' atau 'Singapore Riots 1950' ini adalah sejarah terhebat sebuah bangsa dijajah menebus maruah diri dan agama dengan penjajah.Bagi saya rusuhan yang berlaku ini adalah jalan akhir, jalan penebus maruah orang Islam di Tanah Melayu (Singapura sebahagian daripada Tanah Melayu pada ketika itu). Sekiranya orang Islam tidak bangkit menentang penjajah, kita akan menjadi bangsa yang tidak bermaruah, bangsa yang tidak sayangkan agama kerana provokasi akhbar-akhbar propenjajah ketika itu memang melampaui batas ( Bab 8 ).

Saya terharu membaca pengorbanan orang Melayu di semua peringkat pada zaman itu - sanggup mendermakan wang ringgit, barang kemas dan apa yang ada pada mereka, sanggup berjalan berbatu-batu dan berbasikal beratus batu, datang beramai-ramai sejauh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor menuju ke Singapura hanya untuk bergabung tenaga demi membela seorang anak gadis! saya tertanya-tanya, apakah kuasa yang mendorong mereka bertindak senekad itu dan sanggup berkorban sejauh itu?


Untuk mengetahui kisah Natrah dengan lebih lanjut sila dapatkan naskah buku ini di pasaran atau dari online.

BUKU NATRAH




"Natrah adalah kisah cinta dua insan agungyang menyatu dengan kisah cinta bangsa melayu kepada agamanya hingga mencetus rusuhan yang tragis di Singapura"


UNTUK MENDAPATKAN NASKAH BUKU INI SECARA ONLINE SILA PERGI KE PAUTAN;

bukunatrah.blogspot.com
www.penerbit.utm.my