Natrah : Cinta, Rusuhan dan Air Mata

Assalamualaikum, Salam kasih dan selamat bertemu untuk peminat lama saya dan peminat baru yang bertandang ke laman blog ini.

Saya telah menulis tentang kisah Natrah semasa saya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Semasa itu saya bertugas sebagai wartawan Dewan Masyarakat terbitan DBP. Tulisan berasaskan penyelidikan di perpustakaan dan arkib dan di lapangan itu terbit dalam majalah tersebut pada bulan Februari, Mac, April, dan Mei 1989. Kini saya rasa terpanggil untuk merakamkan kembali kisah Natrah ini dalam bentuk buku dengan gaya penulisan kewartawanan kreatif.

Saya cuba menggarap bahan sejarah yang berat ini dengan hati-hati dan kreatif untuk memudahkan pembaca memahami persoalan undang-undang, susur galur cerita dan permulaan derita hati Natrah yang bersatu dengan denyut rasa hati masyarakat semasa itu. Saya harap saya telah dapat menyampaikannya dengan baik dan dapat memberikan empat kesan ini pada semua pembaca :

Pertama: Untuk melengkapkan kisah hidup atau biografi Natrah setelah beliau meninggal dunia pada 8 Julai 2009.

Kedua: Untuk memberikan maklumat yang lengkap khusus kepada pembaca yang baru mengikuti kisah Natrah.

Ketiga: Untuk memberikan penghargaan terhadap perjuangan para pejuang membela agama dan menentang penjajah, di sebalik kisah cinta Natrah - Mansor.

Keempat: Untuk membangkitkan rasa cinta kepada agama dan tanah air.


Dalam buku ini saya mencuba sedaya upaya untuk tidak mengecewakan generasi yang telah menyaksikan dan mengalami peristiwa bersejarah ini. Saya juga berusaha untuk tidak mengecewakan mereka yang berada pada zaman yang sama dengan gelora kisah Natrah ini. Sejak awal lagi saya sedar, kisah Natrah ini bukan milik saya secara peribadi. Sejarah cinta, rusuhan dan air mata Natrah ini adalah milik bangsa Melayu dan orang Islam rantau ini. Saya hanyalah seorang wakil kerdil yang cuba membawakan sejarah hebat ini kepada bangsa Melayu, dan orang Islam rantau ini. Saya harap saya tidak mengecewakan pembaca semua.


Setelah menghayati sejarah besar dan hebat ini, tidak keterlaluan untuk saya merasakan bahawa rusuhan yang berlaku dalam kes Natrah adalah satu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Rusuhan hebat yang digelar sebagai `Natrah Riots 1950' atau 'Singapore Riots 1950' ini adalah sejarah terhebat sebuah bangsa dijajah menebus maruah diri dan agama dengan penjajah.Bagi saya rusuhan yang berlaku ini adalah jalan akhir, jalan penebus maruah orang Islam di Tanah Melayu (Singapura sebahagian daripada Tanah Melayu pada ketika itu). Sekiranya orang Islam tidak bangkit menentang penjajah, kita akan menjadi bangsa yang tidak bermaruah, bangsa yang tidak sayangkan agama kerana provokasi akhbar-akhbar propenjajah ketika itu memang melampaui batas ( Bab 8 ).

Saya terharu membaca pengorbanan orang Melayu di semua peringkat pada zaman itu - sanggup mendermakan wang ringgit, barang kemas dan apa yang ada pada mereka, sanggup berjalan berbatu-batu dan berbasikal beratus batu, datang beramai-ramai sejauh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor menuju ke Singapura hanya untuk bergabung tenaga demi membela seorang anak gadis! saya tertanya-tanya, apakah kuasa yang mendorong mereka bertindak senekad itu dan sanggup berkorban sejauh itu?


Untuk mengetahui kisah Natrah dengan lebih lanjut sila dapatkan naskah buku ini di pasaran atau dari online.

10 comments:

CT December 9, 2009 at 4:10 PM  

Saya sedang membaca buku hasil penulisan datin. Memang cukup bagus untuk generasi masakini membacanya.

Tahniah! teruskan usaha yang murni. Siapa lagi kalau bukan kita yang hendak memasarkan sejarah yang ada.

http://batulesung.blogspot.com/

Noada Redkhan December 10, 2009 at 4:59 AM  
This comment has been removed by the author.
Noada Redkhan December 10, 2009 at 6:00 AM  

saya baru berumur 23tahun dan merupakan salah seorang generasi yang tidak melalui zaman terjadinya peristiwa ini...tetapi saya mmg mengikuti kisah sedih berkenaan kehidupan seorang gadis yang bernama natrah...segala hasil tulisan datin didalam Majalah dewan Masyarakat sekitar tahun 80-an telah saya baca..majalah2 itu telah tersimpan dalam koleksi ibu saya selama hampir 22 tahun dan kerana itu juga lah saya berpeluang menghayati betapa peritnya hidup seorang yang bernama natrah... saya juga telah menonton tayangan teater natrah baru2 ini...saya memang betul2 ingin tahu tentang kisah kejadian ini..walaupun saya tidak berpeluang untuk jumpa dengan insan yang bernama natrah...tetapi selepas saya membaca, menonton n mengetahui kisah hidupya, saya masih tidak pasti dan ingin mengetahui cerita yang betul2 'sempurna', didalam pemikiran saya penuh dengan perkataan mengapa??kenapa??why??sentiasa ada soalan dan persoalan yg ingin saya kemukakan...

redkhan_8@yahoo.com

Anonymous December 17, 2009 at 1:00 AM  

Buku ini membawa saya mengembara kembali ke zaman lampau seolah-olah peristiwa tersebut berlaku benar-benar di depan mata, dari zaman kegemilangan Natrah semasa kanak-kanak di Kemaman, kepada perjalanan ke Singapura yang penuh kekesalan, rusuhan dan taktik pintar orang Melayu pada masa itu yang berjaya memperlekehkan penjajah, sehinggalah kepada pengembaraan di Belanda bersama insan berhati mulia bernama Vermeulen dan seterusnya di Lake Tahoe Amerika Syarikat..akhirnya kisah Natrah yang selama ini menjadi tanya tanya telah terbongkar, dan Pejuang Islam sejati adalah pemain utama dalam setiap babak di dalam buku ini..

Datin Fatini Yaacob December 17, 2009 at 7:29 AM  

KEPADA SEMUA PEMBERI KOMEN RUANGAN INI, SAYA MOHON MENGENALKAN DIRI ANDA DENGAN NAMA SEBENAR, SEKIRANYA ANDA MENGENAL SAYA SEPENUHNYA, IZINKANLAH SAYA JUGA MENGENAL ANDA YANG SEBENARNYA.

Anonymous March 9, 2010 at 5:50 PM  

Sayang, dia mati bukan sebagai muslim?

Unknown April 2, 2010 at 4:59 AM  

Salam Datin,

Saya Syed Ahmad Israa', pelajar tahun 1 Kuliah Syariah Islamiah,Univ Al-Azhar, Kaherah,Mesir.

Saya amat tertarik dengan penulisan datin. Dari mana mungkin kami yang di luar Malaysia boleh dapatkan buku tulisan datin ini?

Mungkin ada dijual versi pdf nya?

Sayang sekali jika tak dapat kami fahami kisah Natrah ini.

AdibahZainal July 14, 2010 at 6:25 AM  

assalamualaikum , saya seorang pelajar sekolah menengah dan berusia 16 tahun , saya mula berminat mengenai Natrah selapas saya terjumpa keratan akhbar mengenai buku ini , saya mengambil mase yang agak lame untuk mencari buku ini , dan pada awal tahun ini saya menemuinya , saya berasa sangat berminat dengan cerita Natrah ini kerana , saya merasakan masyarakat Islam pada zaman dahulu bersatu dan saling menyokong , sedangkan masyarakat Islam kini , tidak mempedulikan hal saudara2 Islam yang lain , ketika saya membaca buku ini , saya terasa ingin sekali merasai berada di zaman itu , karya ini memang benar2 menyentuh tangkai hati saya sebagai seorang remaja , bagi saya , remaja kini harus mengambil tahu mengenai hal2 seperti ini , dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada datin , kerana berkat usaha datin , generasi kini dapat mengetahui sejarah di tanah melayu dahulu kala ..

Anonymous January 16, 2011 at 8:51 AM  

salam..saya anak jati terengganu dibesarkan di kemaman.sebelum ini nenek saya penah menceritakan pasal natrah..katanya dia adalah kwn rapat pada natrah pada zaman anak dara di kemaman.. baru2 ini ada yg menemu bual nenek saya di kemaman..saya tidak sabar2 untuk dapatkan buku natrah untuk mengetahui jalan cerita yg sepenuhnya....saya sangkakan hanya lah cerita dongeng semata2..pada hakikatnya cerita ini sangat bermakna untuk negara.

aishah salamon October 6, 2011 at 11:01 PM  

Assalamulaikum,datin saya dah baca hasil penulisan datin dah berkali-kali saya baca memang menyentuh hati perasaan tentang perjuangan seorang islam yg menegakkan keadilan memang tragis kisah itu semoga menjadi pedoman but kita semua.Sekali lagi datin tahniah dan teruskan usaha murni datin itu....